Susulan pertikaian orang ramai mengenai drama “Demi Tuhan Aku Bersaksi” yang bakal disiarkan di saluran TV1 (RTM) seolah-olah menyindir sekolah tahfiz, RTM tampil memberikan penjelasan dan mempertahankan drama berkenaan. Menurut Pegawai Perhubungan Media RTM Nurhaninah Ayub, isi kandungan drama tersebut tiada niat memaparkan sisi negatif pusat tahfiz, sebaliknya sarat mesej berguna yang boleh dijadikan pengajaran oleh masyarakat. “Drama ini sarat dengan mesej yang bagus dan memberitahu kepada masyarakat isu realiti memang berlaku dalam masyarakat kita.“Sebenarnya ia terpulang kepada individu yang akan menonton drama ini. Kalau mereka memandang mesej yang disampaikan secara positif, maka ia menjadi pengajaran.“Andai kata sebaliknya berlaku, rugilah mereka kerana mesej yang berguna dianggap negatif,” katanya lapor Utusan Online. Drama tersebut mengisahkan tentang seorang maknyah yang ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali bertaubat serta mendalami ilmu agama.

Dalam drama tersebut watak maknyah yang dilakonkan oleh Syafie Naswip membuat keputusan masuk ke pusat tahfiz. Namun, ketika di pusat tahfiz, dia dihina dan dikeji sebagai pengikut Kaum Luth.Selain mendapat mendapat kecaman daripada warganet, drama ini turut dikritik pemimpin PAS Riduan Mohd Nor yang menyifatkan drama tersebut sebagai drama sampah yang didakwanya seperti mengangkat isu "persemburitan yang berlaku di institusi tahfiz". Jelas Nurhaniah lagi, situasi yang ditonjolkan dalam tersebut hanyalah sekadar jalan cerita dan percaya pusat tahzif dipilih sebagai lokasi disebabkan penerbit inginkan kelainan yang boleh menarik masyarakat menonton drama itu. “Mungkin kalau ditonjolkan isu hubungan songsang berlaku di pejabat atau lokasi lain, ia kurang memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

“Lagi pun, sebelum penggambaran dijalankan, RTM sendiri sudah membuat penilaian terlebih dahulu sama ada naskhah drama yang bakal disiarkan sesuai atau tidak. “Ini juga membuktikan kami menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat untuk membawa mesej yang positif melalui siaran drama,” katanya.Drama Demi Tuhan Aku Bersaksi terbitan Prokuya Studios ini membariskan pelakon seperti Syafie sebagai teraju utama, Fezrul Khan, Ismail Yaacob, Taiyuddin Bakar, Sheila Mambo, Arman Graseka dan ramai lagi.