Majlis pelancaran berlangsung di Galeri Pelayaran Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. Yang hadir sama, Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii; Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Nor Hayati Awang; Pengarah Program Radio, Norba’iyah Datuk Baharudin; Pengarah Penyiaran Terengganu, Nasrul Hakim Md. Noh dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah.

Sebagaimana biasa dan secara tradisi, Aspirasi Merdeka 2019 dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik iaitu Jabatan Pendidikan negeri, Muzium Negeri, wakil rakyat serta badan-badan bukan kerajaan (NGO). Simbolik pelancaran kali ini, RTM Terengganu dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dipilih sebagai ‘kick start’ program itu dengan mengangkat martabat warisan budaya daerah Hulu Terengganu sebagai tema sambutan tahun ini.Pelbagai acara menarik ditampilkan antaranya pertunjukan perahu kolek, kertuk ulu, tumbuk emping, dendang anak, sukaneka tradisional dan persembahan silat kura-kura.

Selain itu, program pelancaran turut dimeriahkan dengan penyertaan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Losong, SK Paloh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam dan SMK Kuala Jenderis. Tidak ketinggalan juga penglibatan para pelajar SMK Chung Hwa Wei Sin, SMK Bukit Besar, SMK Tengku Bariah dan SMK Sultan Ahmad.

Dalam pada itu, Abdul Muis dalam ucapannya menarik perhatian, program Aspirasi Merdeka itu diadakan bagi menyemarakkan rasa cinta dan semangat patriotik terutama kalangan warga sekolah, jabatan kerajaan dan swasta serta NGO, tidak terkecuali kakitangan RTM sendiri.“Aspirasi Merdeka ini adalah acara tahunan RTM yang dianjurkan Bahagian Program Radio melibatkan kesemua 33 stesen RTM dalam memupuk, mendidik masyarakat agar cintakan negara,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE