KUALA LUMPUR - Malaysia berpotensi menjadi antara pemain dunia bagi industri berkaitan kandungan kreatif termasuk animasi dan permainan digital dalam sedikit masa lagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata perbincangan bersama Kementerian Kewangan supaya industri kandungan kreatif diberi lebih peruntukan dalam Belanjawan 2020 selain insentif cukai sudah dibuat bagi menggalakkan pertumbuhan industri itu. "Malaysia perlu menyiapkan diri untuk menjadi pemain dunia dalam industri kandungan kreatif. Ekosistem bagi industri ini di dalam negara perlu dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kre8tif! 2019 di sini hari ini.

Gobind berkata Malaysia perlu menjadi hab industri kandungan kreatif supaya pakar industri tersebut dari seluruh dunia memilih negara ini sebagai lokasi untuk meningkatkan kemahiran dan membuat pelaburan. "Industri kandungan kreatif juga boleh mempromosi Malaysia di pentas dunia melalui segmen gaming (permainan digital) yang berlatarbelakangkan ciri-ciri dan tarikan Malaysia seperti hutan tropika, gua dan bandar raya,” katanya.

Beliau berkata Malaysia boleh dipromosikan di pentas dunia apabila pakar industri kandungan kreatif tempatan menonjolkan ikon Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, Gua Mulu, Menara Kuala Lumpur, Gunung Kinabalu dan Pulau Sipadan dalam permainan yang dibangunkan umpamanya. "Sama juga dengan segmen animasi, ciri-ciri Malaysia boleh dimasukkan dalam animasi keluaran Malaysia bagi menyumbang kepada sektor pelancongan negara," katanya.

Melalui pendekatan demikian, Gobind berkata industri kandungan kreatif mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sumber : BERNAMA