KUALA LUMPUR, 4 April 2020: Slot TV Pendidikan yang bakal disiarkan menerusi saluran TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan bermula pada Isnin ini. Kementerian Pendidikan menjelaskan, slot TV Pendidikan itu akan disiarkan selama dua jam setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Waktu siaran adalah pada jam 9 hingga 10 pagi dan jam 1 tengah hari hingga 2 petang.“Ini adalah satu usaha tambahan kepada siaran EduwebTV yang ketika ini dilaksanakan Kementerian Pendidikan secara talian di laman sesawang.“Slot Program TV Pendidikan ini membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian, ketika lanjutan PKP,” jelas kenyataan itu, hari ini.Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan slot TV Pendidikan akan bermula minggu depan.Beliau berkata, sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan itu akan menawarkan siri latihan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, khususnya yang tidak mempunyai akses internet.Difahamkan, jadual rancangan itu akan menyusul sehari sebelum siaran dan akan dikeluarkan secara berperingkat mulai esok.Kenyataan media itu menjelaskan, slot TV Pendidikan itu disiarkan menerusi kerjasama antara Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.Melalui kerjasama itu, Kementerian Pendidikan menyediakan kandungan rancangan pembelajaran yang bersesuaian untuk disiarkan RTM.“Usaha ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid, guru dan ibu bapa bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan dengan efektif dan menarik walaupun dalam keadaan mencabar ketika ini,” kata kenyataan itu lagi.Jadual rancangan program itu boleh didapati dengan melayari portal rasmi kementerian di www.moe.gov.my atau Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.Slot TV Pendidikan itu juga boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV atau saluran 146 di ASTRO dan ASTRO NJOI.Bagi murid yang mempunyai capaian internet, Kementerian Pendidikan berkata, siaran itu boleh ditonton melalui laman sesawang www.myklik.rtm.gov.my