RADIO Televisyen Malaysia (RTM) menafikan penyebaran berita palsu berhubung pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara seperti yang tular di laman sosial.Penafian itu dibuat pada jam 12.32 tengah malam tadi menerusi akaun Twitter rasmi Berita RTM. Ciapan berkenaan turut memuat naik tangkap layar akaun seorang warganet yang berkongsi berita palsu mengenai pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara dengan menyatakan sumbernya adalah Berita TV1.Perkongsian berita palsu daripada akaun itu diulang ciap hampir 30,000 pengikutnya hingga mengundang salah faham dalam kalangan warganet.Bagaimanapun, semakan Harian Metro mendapati ciapan berkenaan sudah dipadam oleh pemilik akaun Twitter berkenaan.Pada 26 Mac lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan tiada penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri.Menurut Aminuddin, keputusan itu terpaksa dibuat bagi menjamin kesihatan rakyat susulan pandemik koronavirus baharu (Covid-19).Langkah sama turut diambil kerajaan Terengganu dan pemberitahuan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak menerusi satu kenyataan semalam.Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dalam kenyataannya Ahad lalu berkata, perbincangan masih dilakukan dengan pihak berkaitan mengenai kaedah terbaik boleh dilakukan demi kepentingan semua dan belum memutuskan sama ada penganjuran bazar Ramadan diteruskan atau sebaliknya.Manakala, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan negeri lain berhubung penganjuran atau pembatalan bazar Ramadan setakat ini.