KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melancarkan konsert digital #MuzikDiRumah yang menghimpunkan artis popular tempatan menghiburkan penonton di rumah.Dilancarkan semalam, lebih 300 artis, kru produksi dan penerbit terbabit dalam program virtual itu yang boleh ditonton dengan melayari www.muzik.my​.Inisiatif ini diambil bagi menyediakan lebih banyak kandungan digital yang boleh dinikmati rakyat Malaysia di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Antara artis terbabit adalah Datuk Jamal Abdillah, Ayda Jebat, kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussain, Hazama, Stacy dan Soo Wincci. Tidak ketinggalan, barisan pemuzik dan personaliti hiburan tanah air.Kenyataan media Unit Komunikasi Korporat KKMM menyebut, #MuzikDiRumah diilhamkan daripada projek #togetherathome oleh artis antarabangsa.“Objektif konsert dan hiburan atas talian ini adalah untuk menghasilkan program hiburan bagi menggalakkan rakyat duduk di rumah.“Selain itu, program ini memberi impak ekonomi yang sederhana serta menjana pendapatan kepada artis dan kru penerbitan terbabit.“Inisiatif ini juga menanam semangat kekitaan dan perpaduan rakyat Malaysia dalam mengharungi COVID19 selain menyebarkan mesej positif dan maklumat penting melalui platform media sosial,” katanya.Menurut kenyataan itu, sebanyak lapan konsert mega berdurasi 45 minit akan dipersembahkan artis ternama sepanjang program.“Selain itu, 38 konsert mini berdurasi 30 minit dan 84 persembahan dalam bentuk satu hingga dua lagu, pesanan khidmat awam dan video temubual artis tempatan turut disiarkan,” katanya.Antara artis terbabit adalah Datuk Jamal Abdillah, Aizat Amdan, Hazama, Zee Avi, Ayda Jebat, kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussain, Soo Wincci, Mugen Rao dan ramai lagi.