KUANTAN, 13 Jun 2020 -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mempertimbangkan untuk menambah masa siaran program televisyen pendidikan (TV Pendidikan), termasuk membuka saluran televisyen baharu.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia ekoran aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah semakin penting disebabkan pandemik wabak COVID-19 yang menyebabkan hanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama dibenarkan kembali ke sekolah pada 24 Jun ini.Katanya, perbincangan bagi menambah masa siaran yang ketika ini mengambil masa dua jam sehari menerusi  saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV Okey mulai 6 April lepas, sedang dilakukan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Apa yang dipanggil 'Home Based Learning' ini berada di bawah KPM dan KKMM telah memberi kerjasama dengan menyiarkannya di saluran TV Okey. Ketika ini kita berbincang untuk menambah masa siaran sama ada menggunakan platform yang sama atau membuka satu lagi saluran khas bagi TV Pendidikan," katanya. Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MYNIC Berhad kepada Yayasan Pahang dan 210 keluarga asnaf di sini, hari ini.

Walaupun ada saluran televisyen pendidikan, Saifuddin berpandangan pelaksanaan 'home based learning' yang terbaik adalah secara dalam talian kerana ia harus interaktif bagi memberi kefahaman yang lebih baik kepada pelajar."Bagaimanapun, kaedah dalam talian ketika ini berdepan dua cabaran utama iaitu masalah capaian internet di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan masalah (ketersedian) peranti yang penyelesaiannya sedang difikirkan KPM," katanya.

Pada perkembangan lain, Saifuddin berkata semua 1,100 pusat internet kendalian pelbagai agensi kerajaan di seluruh negara dibenarkan kembali beroperasi dengan mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) selepas ditutup sejak 18 Mac lepas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Beliau berkata pusat internet terlibat kini memainkan peranan lebih besar kerana ia menjadi tumpuan pelbagai pihak yang ingin melakukan urusan secara dalam talian termasuk pelajar sekolah."Kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk menambah baik atau membeli aset baharu untuk kegunaan pusat internet ini supaya dapat digunakan secara optimum oleh masyarakat," katanya.

--BERNAMA