KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bekerjasama dengan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dalam penyelidikan berhubung keperluan undang-undang khusus berkaitan antibuli siber. Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sesi libat urus dan perbincangan berhubung perkara itu sedang dijalankan, dalam mencari jalan serta membangunkan rangka kerja sesuai berkaitan mekanisme terbaik, bagi menangani isu buli siber.

"Sekiranya undang-undang sedia ada didapati tidak memadai untuk menangani permasalahan buli siber, undang-undang tersebut boleh dipinda sewajarnya. "Dalam membuat pindaan atau membuat perundangan baharu sekiranya perlu, konsultasi awam dan konsultasi dengan pihak berkepentingan akan diadakan, bagi memastikan pindaan atau perundangan baharu yang dibuat adalah wajar dan berkesan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini. Beliau menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas yang mahu tahu, sekiranya kerajaan berhasrat mengkaji atau menggubal undang-undang bagi mengawal kes buli menggunakan media sosial.Menurut Saifuddin, ada beberapa undang-undang sedia ada yang boleh diguna pakai untuk menangani kes buli siber di media sosial, contohnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, dan Kanun Keseksaan.

"Undang-undang ini boleh digunakan oleh pihak penguat kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan bersama undang-undang sedia ada yang lain, termasuk di bawah perundangan sivil, tertakluk kepada fakta kes. "Undang-undang secara umumnya tertakluk kepada semakan secara berterusan, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya. Terdahulu, beliau turut memaklumkan sejumlah 3,224 akaun yang menyamar atau akaun palsu, telah diambil tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara tahun 2019 hingga Ogos 2020.

Katanya daripada jumlah tersebut, 80 peratus telah dipadam dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, selaras dengan terma-terma dan syarat platform masing-masing. "Kandungan-kandungan lain adalah berkenaan kandungan yang berunsur buli siber, kandungan berunsur kebencian dan sebagainya, di mana sejumlah 3,638 pautan atau 'url' bagi akaun dan kandungan, telah dirujuk untuk perhatian tindakan lanjut penyedia platform media sosial, seperti Facebook, Twitter, Google, Instagram, Youtube dan sebagainya.

"60 peratus daripadanya telah dipadamkan berdasarkan pelanggaran terma dan syarat perkhidmatan, serta piawaian komuniti penyedia platform yang berkenaan," katanya. Jelas Saifuddin lagi, selain maklumat daripada pengguna media sosial, penyedia platform media sosial seperti Facebook, turut memantau kandungan serta akaun terdapat di platform mereka dan akan mengambil tindakan sewajarnya, jika bertentangan dengan terma dan syarat serta piawaian komuniti yang ditetapkan. Beliau berkata demikian bagi menjawab satu lagi soalan Kesavadas, berkaitan tindakan SKMM terhadap profil media sosial yang menggunakan akaun palsu dan jumlah laporan yang dibuat berhubung perkara itu bagi tahun 2019 hingga kini. – BERNAMA