MELAKA, 14 JUN 2017 - MelakaFM bersama Kolej Cosmopoint Melaka mengagihkan seribu bungkus bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di sekitar Jalan Hang Tuah. Program berkenaan bersempena Program Semarak Imarah Ramadan Memasak dan Mengagih Bubur Lambuk anjuran kolej berkenaan bersama MelakaFM.

Ketua Eksekutif Kolej Cosmopoint Melaka, Mazvin Jahabardeen berkata program tersebut julung kali diadakan kolej berkenaan bersama MelakaFM. Beliau berkata, ia bagi mengeratkan lagi hubungan pelajar dan institusi berkenaan seterusnya memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan dunia penyiaran. Hadir merasmikan program berkenaan Pengarah Jabatan Penyiaran Melaka, Ibrahim Ismail.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, program tersebut perlu diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara MelakaFM dan Kolej Cosmopoint. Kira-kira 100 peserta terdiri daripada pelajar Kolej Cosmopoint dan kakitangan MelakaFM bersama-sama memeriahkan program berkenaan dengan mengacau dan mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya.