KUALA LUMPUR, 13 JUN 2017 - Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan sebanyak 67 program eksklusif bagi menyemarakkan Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi. Bertemakan "Sucikan Hati, Salam Aidilfitri", saluran TV1 akan menyiarkan sebanyak 45 program manakala TV2 dan TVi masing-masing menjanjikan 15 dan tujuh program istimewa.

RTM dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mengangkat nilai sebenar di sebalik makna sambutan Hari Raya itu menerusi tayangan program yang merangkumi genre telefilem dan filem, majalah dan dokumentari, hiburan dan bual bicara. Program menarik yang akan disajikan untuk penonton antaranya ialah panggung raya yang menampilkan drama 'Pergilah Air Mata' dan beberapa filem seperti 'Misi Cantas Cinta' lakonan Maya Karin, Bront Palare, Remy Ishak dan Izara Aishah.

"Nantikan tayangan program istimewa di TV1, 'Gema Takbir 2017' yang disiarkan secara langsung pada malam raya, pukul 9 malam bersama Ustaz Mohd Zafiri Mohd Daud bagi mengupas tajuk permulaan, pertengahan dan penghujung Syawal. "Bagi slot Senyum Syawal pula, kami akan menyiarkan telemovie 'Dengan Beetle Kami Beraya Lagi' dan 'Serondeng Daging Abang Sado' pada hari raya pertama dan kedua, jam 10 pagi," menurut kenyataan itu.

Pada raya pertama, penonton juga akan dihiburkan dengan program muzikal komedi, 'Temasya Aildilfitri' yang membariskan artis terkenal seperti Ifa Raziah, Alyah dan Khai Bahar, selain berpeluang menyaksikan program 'Ketuk-Ketuk Syawal' dan 'Teh Tarik Che Ta Raya' pada raya pertama dan kedua. Sementara itu, saluran radio menerusi NasionalFM, Radio Klasik, KLfm, TRAXXfm, MINNALfm, ASYIKfm, dan radio negeri seluruh negara juga tidak ketinggalan mengudarakan program-program menarik bagi menemani pendengar sempena Aidilfitri ini.-- BERNAMA