KUANTAN, 4 NOVEMBER 2017 - Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu lebih proaktif turun ke lapangan bertemu orang ramai bagi menyampaikan maklumat tepat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Beliau berkata perkara itu semakin penting dalam keadaan berlaku penularan berita tidak benar atau separuh tepat di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat memburukkan kerajaan. "Kita tidak mahu rakyat keliru dengan maklumat yang tidak tepat. Rakyat perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada media rasmi seperti RTM yang memikul tanggungjawab untuk turun ke bawah dan menyampaikan mesej apa yang dilakukan kerajaan. "Kita bersyukur kerana berada dalam negara yang aman dan menikmati pembangunan ekonomi... negara berada dalam keadaan yang baik, menunjukkan apa yang dilakukan kerajaan adalah tepat dan dilakukan dengan rasa tanggungjawab.

"Ada pihak yang cemburu dengan apa yang kita nikmati hari ini dan mencari jalan untuk memecah-belahkan kita. Sebab itu penting untuk kita tanamkan kesatuan sesama kita, menguruskan perbezaan dengan sebaik-baiknya serta menentukan kerajaan diberi sokongan padu," katanya. Salleh berkata demikian semasa merasmikan Karnival Sehati di RTM 'Moh La Weh' di Serambi Teruntum di sin,i hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KKMM Shakib Ahmad Shahir.

Pada majlis itu, Salleh juga mengumumkan pelancaran perkhidmatan tujuh saluran radio RTM di platform Astro NJOI iaitu Nasional FM, Traxx FM, Ai FM, Minnal FM, Sabah FM, Wai FM dan Asyik FM bagi membolehkan pendengar menikmati siaran yang lebih baik. Sebagai contoh, beliau merujuk kepada penduduk di Pahang, negeri terbesar di semenanjung dengan keluasan lebih 3.6 juta hektar dan sebahagian besar muka buminya adalah mencabar dari aspek komunikasi. "Inisiatif ini juga mendekatkan kita dengan RTM yang menyalurkan informasi dan hiburan kepada semua," katanya. Beliau berkata RTM juga akan menganjurkan empat karnival dan 20 fiesta Sehati di RTM pada tahun hadapan sebagai kesinambungan kepada penganjuran karnival yang diadakan di sini. Salleh berkata program itu juga bertujuan menyalurkan maklumat tepat dengan lebih berkesan dan memberi peluang kepada masyarakat lebih memahami peranan serta fungsi sebenar RTM. - Bernama