KUANTAN, 5 NOVEMBER2017 - Kerajaan memandang serius penularan dan penyebaran berita palsu yang tidak mempunyai integriti sekali gus menjadikannya satu cabaran dalam mengatasinya. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kerjasama rapat antara agensi berita berkaitan diyakini dapat menangkis dan menghalang sebarang perbuatan penyebaran terutama fitnah daripada terus berleluasa. “Kita sebagai rakyat yang sayangkan negara perlu bersama-sama menolak pihak yang cuba melemparkan fitnah atau berita tidak benar dengan tujuan meracuni pemikiran membenci kerajaan atau pihak tertentu. “Rakyat seharusnya tidak mudah terkeliru dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan itu. Apa yang penting, sebagai rakyat bertanggungjawab, kita perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada media rasmi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sehati@RTM-Moh La Weh di Serambi Teruntum, di sini, semalam. Beliau turut melancarkan perkhidmatan tujuh siaran radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi platform Astro Njoi.

Karnival anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia, RTM yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri Pahang serta ECERDC. RTM juga akan mengadakan empat lagi karnival dan 20 fiesta sepanjang tahun depan bagi mendekati masyarakat setempat bertujuan menyalurkan maklumat tepat dengan lebih berkesan dan memberi peluang kepada masyarakat lebih memahami peranan serta fungsi sebenar RTM. Dalam pada itu, menurutnya, rakyat juga perlu bersama-sama dengan kerajaan bagi menjaga dan mempertahankan keamanan negara yang merupakan kunci utama bagi menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran mendatang. “Keamanan dikecapi hari ini sudah bermula sejak merdeka lagi tetapi masih ada pihak luar yang cuba mencari jalan memastikan negara berada dalam keadaan huru-hara. Jika negara selamat sudah pastinya rakyat juga berada dalam keadaan selamat. “Oleh sebab itu, kita perlu menitikberatkan agenda perpaduan kerana dengan bersatu hati pembinaan sebuah negara yang aman damai dan sejahtera akan dapat dilaksanakan. “Sehingga kini, kerajaan telah memastikan negara berada dalam keadaan aman. Jadi, kita harus bersyukur dan kalau hendak dibandingkan dengan negara lain yang mundar mandir, kita di Malaysia berada dalam keadaan begitu baik,” katanya.