PUTRAJAYA: Maxis Berhad (Maxis) menjadi penaja utama 41 daripada keseluruhan 64 perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang membabitkan penajaan sebanyak RM18 juta.Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata AirAsia Berhad (AirAsia) pula menjadi penaja emas dengan tajaan RM12 juta, sekali gus melengkapkan tajaan bagi pembayaran kos hak penyiaran acara sukan itu yang berjumlah RM30 juta.

Katanya, selain Maxis dan AirAsia, ada beberapa pihak turut menunjukkan minat untuk menaja siaran berkenaan."Perkara ini masih dalam proses perbincangan antara RTM dan pihak yang berkenaan, dan kita galakkan sesiapa yang berminat untuk menaja boleh tampil ke hadapan."Kos RM30 juta dibayar bagi hak penyiaran 41 perlawanan, jadi bagi pihak yang terus berminat untuk menaja, tajaan itu boleh kita gunakan untuk tujuan promosi dan mungkin tambahan siaran perlawanan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan siaran kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 secara percuma di RTM di kementeriannya di sini, hari ini.Kos penyiaran 41 daripada keseluruhan 64 perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Russia menerusi RTM membabitkan peruntukan RM30 juta.Bagi edisi ke-21 ini, RTM memperuntukkan 400 jam siaran bagi menyiarkan perlawanan berkenaan menerusi TV1 dan TV2 untuk memenuhi permintaan rakyat yang tidak mampu memiliki siaran televisyen berbayar.Daripada jumlah itu, sebanyak 28 perlawanan disiarkan secara langsung manakala 13 lagi siaran tertunda.

Siaran bermula Khamis ini yang membabitkan perlawanan pembukaan antara Russia dan Arab Saudi. Selain itu, Gobind berkata, kerajaan sentiasa merancang acara yang terbaik untuk rakyat sama ada yang bersifat, kenegaraan selain rekreasi dan hiburan."Kita tidak nafikan sukan bola sepak adalah acara yang amat popular dalam kalangan rakyat."Justeru, agenda penyiaran amat dititikberatkan supaya mesej dapat disalurkan secara efektif. Sumbangan penaja ini dapat menjayakan program siaran, sekali gus meningkatkan prestasi RTM," katanya yang menyokong pasukan Brazil. ,Dalam pada itu, sebagai penaja, AirAsia menyediakan peluang menarik kepada penonton bagi memenangi 54 tiket penerbangan menerusi kuiz yang dianjurkan sepanjang kejohanan berlangsung.