KUALA LUMPUR: 17 Julai - Filem dokumentari atau kreatif yang pernah digam daripada ke udara menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana menyentuh sensitiviti masyarakat, tidak akan disiarkan sewenang-wenang dalam rancangan RTM. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata setiap karya dihasilkan tertakluk kepada undang-undang sebelum boleh disiarkan. "Saya menegaskan setiap penerbitan atau apa-apa dokumentari yang hendak disiarkan di RTM, tertakluk kepada undang-undang.

"Ada mekanisme perlu diikuti sebelum sesuatu dokumentari disiarkan di RTM. Apa juga dokumentari dibuat dan diterbitkan, bergantung kepada kandungannya sebelum disiarkan. "Dokumentari atau filem yang mengeratkan perpaduan amat digalakkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (PBB-Sibuti) pada sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Lukanisman bertanya sama ada karya terbitan golongan muda yang berunsur patriotisme tetapi diharamkan penyiarannya pada era kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti Amir Mohamad, Fahmi Reza dan Namewee (Wee Meng Chee), boleh disiarkan dalam rancangan RTM selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.Terdahulu, Gobind berkata, kementerian sentiasa menyokong syarikat tempatan untuk terus menerbitkan dokumentari yang ada nilai intelektual dan patriotisme.

Beliau berkata, sejak 2016, kementerian melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menyediakan dana kepada penggiat industri bawah Dana Kandungan Digital (DKD). "Hingga Jun lalu, kementerian meluluskan RM19.59 juta bagi penerbitan dokumentari, dan RM1.33 juta untuk penghasilan filem pendek," katanya.