KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang memiliki atau menjual dekoder atau Set Top Box (STB) DVB-T2 televisyen terestrial digital (DTT) tanpa label Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh didakwa. Kegagalan mematuhi perkara itu, sama ada memiliki atau menjual mana-mana peranti yang tidak diperakui SKMM, adalah satu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

SKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya membuka penjualan dekoder atau Set Top Box (STB) DVB-T2 televisyen terestrial digital (DTT) ke pasaran negara ini berkuatkuasa 15 Ogos lalu dengan syarat ia mempunyai label ‘MCMC’. “Label berkenaan perlu untuk membuktikan ia diperakui dan peranti mematuhi standard teknikal yang ditetapkan SKMM. “Orang ramai yang membeli dan memiliki STB DVB-T2 boleh menonton siaran myFreeview yang sehingga kini membawa 13 saluran televisyen seperti rtmHD SPORTS, Tv3HD, Tv AlHijrah, TV OKEY dan Bernama News Channel (BNC) selain empat siaran radio.

“myFreeview adalah perkhidmatan televisyen terestrial digital nasional percuma di bawah Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang dinaungi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang dikawal selia SKMM,” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan siaran myFreeview dapat diterima dengan baik, orang ramai perlu mendapatkan STB DVB-T2 yang mempunyai label pengguna DTTV. “Perbuatan menjual dan memiliki mana-mana peranti yang tidak diperakui atau tidak mematuhi standard teknik yang ditetapkan SKMM adalah menjadi kesalahan mengikut Peraturan 16, Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

“Jika didapati bersalah, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.