KUALA LUMPUR 16 OKTOBER 2018Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak terikut-ikut dengan trend stesen TV lain yang banyak memaparkan drama berkisarkan kisah cinta pasangan muda yang menggunakan khidmat ramai artis generasi baharu hingga abaikan artis veteran.

Penolong Pengarah Unit Drama TV RTM, Rahayu Wahid berkata, RTM mementingkan produk penuh nilai seni, keagamaan, kemasyarakatan serta kekeluargaan maka tidak hairanlah RTM banyak menyiarkan drama memaparkan peranan 'orang tua' yang dilakonkan artis veteran."RTM memang akan pilih pelakon yang benar-benar sesuai dan boleh berlakon dengan baik, bukan bersandarkan populariti semata-mata.

"Pengunaan khidmat pelakon 'ada nama' memang bonus kepada kita. Tetapi RTM tetap pilih seseorang pelakon itu berdasarkan watak. Kita tidak mementingkan nama besar seseorang pelakon veteran itu semata-mata sebaliknya mementingkan kualiti lakonan serta kualiti cerita. "Contohnya sempena program untuk Maal Hijrah lalu, kita menampilkan pelakon seperti Rozaidi Abdul Rahman.

"Tajuk drama itu, Di Sisi telah mendapat maklum balas yang sangat baik daripada penonton. Selain Rozaidi, drama itu turut dibintangi pelakon lama iaitu Aman Graseka, Rosnah johari dan Pak Bohari," katanya. Selepas itu RTM akan siarkan drama berjudul Hujan Manik yang mana pelakon utama dipegang oleh Mak Mah (Ruminah Sidek) dan Fauziah Nawi. Drama ini masih dalam proses suntingan dan mungkin disiarkan November atau Disember ini.

Ketua Unit Drama RTM itu mengulas laporan Sinar Harian, semalam mengenai nasib artis veteran susulan luahan perasaan pelakon versatile Jalil Hamid mengenai isu bayaran, baru-baru ini."Isu yang berlaku kepada Jalil Hamid boleh dianggap tidak logik kerana lakonan beliau sangat bagus tetapi dibayar tidak setimpal.

"Kalau kita mampu bayar artis muda dengan harga mahal, mengapa tidak kepada artis veteran dengan bersandarkan pengalaman, komitmen dan kualiti lakonan mereka. Sesebuah syarikat produksi pastinya sudah biasa bekerja dengan artis lama. Patutnya beri pertimbangan kadar bayaran dengan melihat cara bekerja dan komitmen mereka," tegasnya.Tambahnya, RTM amalkan pembayaran setara mengikut kerja seseorang artis dan pemilihan drama bermanfaat secara langsung boleh membuka ruang  untuk pelakon veteran beraksi di skrin TV.  #SinarHarian