KUALA LUMPUR 20 NOVEMBER 2018 - Kerajaan memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa monopoli Astro Malaysia Holdings Bhd Group terhadap sektor penyiaran negara 'sudah berakhir'.Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith (PH- Kuala Pilah) berkata, ini juga selaras dengan manifesto PH. "Saya nyatakan bahawa tidak ada lagi penguasaan secara eksklusif pada Astro yang mana ada empat syarikat yang diberikan hak yang sama untuk bersaing," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung sejauh mana  tindakan kementerian menghapuskan monopoli Astro selaras janji PH. Mengulas lanjut katanya, cuma lesen yang ada dan dibenarkan pada Astro akan tamat pada 2020.

"Untuk itu Astro  berhak teruskan aktiviti penyiaran syarikat, ini di atas dasar non ekslusif kerana lesen yang dimiliki Astro di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah sah sehingga 1 Februari 2020," katanya. PH sebelum ini dalam manifesto 138 muka surat yang dilancarkan sempena PRU14 lalu berjanji untuk menyelesaikan masalah monopoli di negara ini.

Menurut manifesto berkenaan, antara lain monopoli oleh syarikat seperti Bernas dalam pengeluaran beras, Astro dalam sektor penyiaran dan lain-lain akan dikaji semula. Bagaimanapun, ia memberi jaminan bahawa syarikat konsesi akan diberi pampasan sewajarnya. - Sinar harian