Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, penggubalan itu turut merangkumi undang-undang yang perlu untuk menyekat penyebaran maklumat palsu dan berbaur perkauman dengan pantas dan berkesan.

 

“Perpaduan antara kaum dan ketenteraman awam di negara kita perlu diberikan keutamaan. Malah, sebarang tindakan atau kegiatan yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum seperti tindakan menghina mana-mana agama ataupun kaum tertentu yang boleh mengancam keselamatan negara, perlu dibendung.

“Tindakan yang tegas perlu diambil dengan serta-merta terhadap mereka yang melakukan sebarang kesalahan yang sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan tiga individu ditahan dan seorang lagi diburu polis berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, ketika proses menyediakan pindaan itu sedang dilaksanakan, peruntukkan sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain berkaitan masih berkuat kuasa dan terpakai.

“Jadi, di mana aduan dibuat maka tindakan segera perlu diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) seperti yang termaktub dalam undang-undang sedia ada tanpa sebarang kelewatan.

“Sekiranya siasatan menunjukkan wujudnya kes terhadap mana-mana pihak maka kertas siasatan itu perlulah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata, SKMM juga telah mengambil tindakan tegas dan membantu pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangani masalah penyalahgunaan media sosial.

Jelasnya, berdasarkan laporan SKMM, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka berkaitan aduan salah guna media sosial dan lima daripadanya telah dijatuhkan hukuman.

“Sebanyak 2,358 proses bantuan teknikal dan pengenal pasti maklumat bagi membantu proses siasatan agensi penguatkuasaan telah dilaksanakan dan sebanyak 3,047 akaun media sosial palsu yang disalahgunakan untuk menyebar mesej bersifat ekstremis, kebencian dan fitnah serta 1,163 akaun dengan kandungan sama dipadamkan dengan kerjasama platform media sosial antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE