KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berharap keputusan mewajibkan projek perumahan dan perusahaan industri baharu menyediakan akses kepada internet dapat dibuat dalam masa terdekat.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan berbincang dengan kerajaan supaya polisi itu dapat dilaksanakan, sekali gus pengguna awal tidak perlu menanggung kos infrastruktur dan pemasangan yang mahal.

"Sekarang kita harus pastikan semua projek-projek pembinaan baharu sama ada projek perumahan, projek perusahaan industri dan sebagainya wajib juga kita ada infrastruktur yang akan mendukung kemudahan internet supaya tidak timbul masalah ini di masa depan. 

"Perkara ini saya sedang bincangkan dan saya harap satu keputusan boleh dibuat dalam masa terdekat," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Gobind menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu mengapa pengguna awal perlu menanggung kos infrastrukutur Unifi di kawasan baharu sedangkan pengguna selepas itu tidak perlu membayar kos berkenaan.

Dalam pada itu, Gobind berkata KKMM juga dalam perancangan melaksanakan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di ibu negeri, bandar-bandar utama dan kawasan ekonomi berimpak tinggi di seluruh negara termasuk di Parlimen Lanang.

"Sehingga kini, lebih 23,000 sambungan telah tersedia melibatkan penaiktarafan dua ibusawat di Parlimen Lanang.

"Selain itu, tambahan 480 sambungan bagi peluasan jalur talian tetap masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat sehingga suku keempat 2019 yang lebih tertumpu di kawasan pinggir luar bandar,” katanya. 

Tambah Gobind, kerajaan telah dan sedang melaksanakan rancangan jangka masa pendek inisiatif Peluasan Liputan Jalur Lebar Mudah Alih yang melibatkan pembinaan menara komunikasi baharu dan penaiktarafan menara komunikasi sedia ada. 

Katanya dua menara komunikasi baharu telah dibina manakala tambahan tiga menara lagi sedang dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2019 di parlimen itu.

"Selain itu, sebanyak 26 menara komunikasi sedia ada telah dinaiktaraf kepada perkhidmatan 3G atau 4G di Parlimen Lanang. Ini merupakan tambahan kepada 48 menara komunikasi yang turut dibangunkan secara komersial di Parlimen Lanang.

Beliau menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang ingin tahu rancangan jangka masa panjang dan pendek KKMM berhubung saluran internet di kawasan luar bandar dalam parlimen Lanang.

-- BERNAMA