PUTRAJAYA, 8 Nov -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo meminta agensi-agensi di bawah kementeriannya terutama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan memberi fokus kepada menyampaikan mesej-mesej perpaduan.

Beliau berkata program-program berkaitan perpaduan tidak sepatutnya hanya diberi penekanan ketika bulan kebangsaan sahaja, sebaliknya dimainkan sepanjang tahun, agar semua rakyat Malaysia dapat bersama-sama membangunkan negara dalam semangat kebersamaan.

“Fokus kepada mesej perpaduan kerana kita mahu memastikan Malaysia terus aman.

“Kita mahu semua rakyat Malaysia hormat menghormati antara satu sama lain, kita mahu membina dan menjayakan negara bersama-sama kerana ini adalah tanggungjawab kita,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan kementerian, di sini hari ini.

Sementara itu, Gobind turut memuji warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang telah berjaya melaksanakan pelbagai program bersempena bulan kebangsaan tahun ini yang menurutnya menjadi tarikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kita terima maklumat bahawa apa yang kita telah laksanakan untuk bulan kebangsaan tahun lalu memang menjadi perkara yang dilihat semua sebagai berjaya. Tetapi tahun ini saya dimaklumkan lebih berjaya pula.

“Dan mereka akan melihat apa yang kita akan laksanakan dalam tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam memperkasa infrastruktur telekomunikasi, Gobind berkata KKMM telah berjaya dalam menurunkan harga jalur lebar sebanyak 49 peratus dan mendapat pujian Bank Dunia dalam laporannya baru-baru ini.

“Selain itu, kita juga dapat meningkatkan kelajuan jalur lebar sehingga 10 kali ganda. Ini sangat penting kerana kalau kita hendak pastikan kita bersedia untuk bersaing dengan seluruh dunia maka ia perlu bermula dengan kementerian ini,” katanya.

Menurut Gobind, tanpa infrastruktur yang menyeluruh dan berkualiti dengan harga munasabah yang boleh diguna pakai oleh rakyat, maka cita-cita untuk menjadi negara digital yang boleh bersaing dan membawa bakat-bakat dan produk Malaysia ke peringkat dunia tidak akan tercapai.

-- BERNAMA