KUALA LUMPUR 14 Nov: Malaysia memerlukan lebih banyak pelaburan dalam meningkatkan ekosistem digital bagi memastikan negara sentiasa ke hadapan dan menjadi hab digital serantau.Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata semua pihak perlu bersama dalam meningkatkan dan memberi lebih fokus kepada ekosistem digital.“Jika kita ada infrastruktur digital tetapi nilai dan agenda itu tidak dibangunkan dari peringkat bawah, sudah tentu infrastruktur itu tidak dapat dilaksanakan.“Fokus utama adalah dalam pembentukan sumber dan nilai digital dari peringkat sekolah lagi. Sistem itu perlu diterapkan agar mereka lebih bersedia berhadapan dengan perjalanan digital.

“Pelaburan perlu dijalankan bagi mewujudkan mekanisme itu, memberi idea baharu untuk masa depan,” katanya ketika merasmikan Pusat Kecemerlangan ADA di sini, hari ini.ADA (analisis, data, pengiklanan) adalah perniagaan pemasaran digital bersepadu yang menggabungkan sains data, teknologi dan kreativiti untuk jenama serta perniagaan di Asia di bawah Axiata Digital, cabang perkhidmatan digital Axiata Group Bhd.Mengulas lanjut, Gobind berkata, pihaknya juga sentiasa menumpukan kepada dasar baharu digital bagi memastikan ekosistemnya di Malaysia terus meningkat.Beliau berkata, banyak cabaran perlu diatasi dan ia bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan tetapi turut menyeru pembabitan semua pihak dalam bersama-sama memastikan ekosistem digital terus terlaksana.“Ini tanggungjawab semua pihak, perlu memimpin dan meningkatkan ekosistem digital. Usaha perlu dijalankan sepantas mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ADA, Srinivas Gattamneni berkata, pihaknya menyasarkan pelaburan sebanyak RM120 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam prasarana data dan modal insan.Ketika ini, ADA katanya sudah melabur sebanyak RM60 juta dan akan menggandakan pelaburan itu dalam beberapa perkara berkaitan.“Dengan adanya Pusat Kecermelangan ADA ini, ia akan membantu menampung permintaan berkaitan dengan data dan digital yang semakin meningkat di peringkat tempatan dan serantau.“Usaha pengembangan ini juga telah mewujudkan peranan baharu, termasuk jawatan berkemahiran tinggi dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tenaga kerja yang mempunyai permintaan tinggi di Malaysia,” katanya.