PUTRAJAYA 11 MAC 2020 - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini memulakan tugas rasminya di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini. Beliau tiba pada jam 12.55 tengah hari selepas menghadiri mesyuarat Kabinet pertama yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sebelah pagi.

Sebaik tiba, beliau mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu dan mengaminkan bacaan doa serta beramah mesra dengan petugas kementerian.Ketibaan Saifuddin disambut oleh timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin yang turut memulakan tugas rasminya hari ini serta Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad.

Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nurini Kassim dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Al Ishsal Ishak, Ketua Pengarah Penerangan Roselindawati Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Penyiaran Nor Yahati Awang.

Saifuddin dan Zahidi kemudiannya mendengar taklimat mengenai kementerian itu daripada Suriani, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Shakib Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Tan Chuan Ou serta Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, Mohammad Diah Wahari.

Saifuddin dan Zahidi mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Melawati di sini semalam. - Bernama