KUANTAN, 26 SEPTEMBER 2020: Semua kakitangan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang bertugas di Pilihan Raya Negeri Sabah, wajib menjalani ujian saringan COVID-19 sebaik pulang ke Semenanjung.Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah, berkata arahan itu dikeluarkan semalam sebagai langkah berjaga-jaga dan inisiatif KKMM walaupun setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM), belum mewajibkan petugas yang pulang dari Sabah melakukan ujian berkenaan."Kita ada ramai petugas yang dihantar dari ibu pejabat ke Sabah, khususnya mereka dalam bidang penyiaran, berita dan penerangan untuk membantu rakan di sana kerana faktor demografi negeri itu yang terlalu luas.

"Ada petugas yang balik sudah mengambil inisiatif membuat ujian dan didapati negatif. Bagaimanapun masih ramai lagi petugas kita yang berada di sana dan kita harus berwaspada," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Latihan YouTube Zon Pantai Timur di sini, hari ini. Program dua hari anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu turut dihadiri Pengerusinya Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Saifuddin yang kerap berkunjung ke Sabah sebelum ini, memaklumkan beliau sudah menjalani ujian berkenaan dan didapati negatif COVID-19. Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata semua syarikat produksi yang sedang menjalani atau merancang melakukan penggambaran di Sabah diingatkan supaya mengambil langkah sewajarnya dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara. "Syarikat produksi sering berkomunikasi dengan Finas mengenai SOP dan kita menasihatkan mereka untuk menangguhkan dahulu jika penggambaran membabitkan lokasi di kawasan zon merah atau jika boleh, cari lokasi lain. Tapi yang penting, mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya. – BERNAMA