AYER KEROH, 2 DISEMBER 2017- Unit Berita Hal Ehwal Semasa (BES), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Melaka mendapat pengiktirafan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron apabila berjaya mengendalikan siaran langsung secara terus ke TV1 dari negeri ini. Katanya, walaupun tidak mempunyai peralatan penyiaran yang lengkap seperti di Angkasapuri, Kuala Lumpur namun unit berkenaan berkemampuan serta berjya membuktikan kebolehan mereka.Idris berkata, ia sekaligus membuktikan bahawa siaran langsung dari RTM negeri mampu setanding dengan siaran secara langsung di Angkasapuri walaupun peralatan yang digunakan sangat terhad. “Selalu kita ada siaran langsung seperti ini, tetapi siaran langsung itu terpaksa menerima kehadiran anggota dan juga peralatan daripada Angkasapuri, mereka bawa turun ke Melaka dengan segala peralatannya dan mereka melaksanakannya. 

 “Hari ini buat kali pertama di peringkat Negeri Melaka krunya dari penerbit sampailah kepada pengacara adalah orang Melaka, jadi saya rasa  bangga akhirnya ia jadi kenyataan,” katanya.Beliau berkata demikian kepada media selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran secara langsung dari Rumah Media disini. Tambahnya lagi, usaha yang dilaksanakan itu juga antara lain bagi mencapai aspirasi kerajaan negeri untuk mendigitalkan teknologi dalam memenuhi kehendak dan aspirasi kerajaan negeri dalam apa jua keadaan.

Siaran langsung Selamat Pagi Malaysia berjaya dilaksanakan di Rumah Media Melaka selama dua hari iaitu pada 15 November 2017 (Rabu) bagi tujuan mempromosikan Festival Antarabangsa Sungai Melaka Ke-11 dan 17 November 2017 (Jumaat) Program Gen-Y Green The City Melaka 2017. Sementara itu, Pengarah RTM Melaka, Ibrahim Ismail berkata, unit BES yang terajui oleh Samat Majid yang mempunyai pengalaman luas lebih 30 itu di bahagian Radio dan TV telah berjaya menyahut cabaran Ketua Menteri untuk mengendalikan siaran secara langsung dengan hanya menggunakan peralatan penyiaran yang sedia ada. “Dengan adanya kru atau team siaran langsung yang diwujudkan oleh unit BES Melaka FM ini, ia sekaligus dapat menterjemahkan kehendak kerajaan negeri khasnya,” katanya. Malah, dengan hubungan tenaga kerja yang pakar dan berpengalaman luas serta bantuan daripada pihak teknikal unit berkenaan dapat berkembang luas untuk mengendalikan siaran secara langsung di seluruh negeri ini. “Apa yang dilakukan ini juga jelas menunjukkan bahawa unit BES Melaka FM telah sentiasa siap siaga dalam apa keadaan termasuk di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).