KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mahu Radio Televisyen Malaysia (RTM) lebih menonjolkan wajah baharu dan lebih agresif dalam tempoh enam bulan sebagai usaha menarik lebih ramai penonton.Beliau berkata, perubahan itu bagi memastikan stesen televisyen nasional itu mampu bersaing secara sihat atau lebih baik berbanding stesen televisyen swasta lain termasuk pada peringkat antarabangsa.

"Apa yang kita siarkan kepada rakyat adalah sangat penting kerana ia mencorakkan cara pemikiran rakyat. Saya mendapat banyak maklum balas RTM kena ada perubahan drastik."Jadi hari ini saya sudah minta pengurusan (RTM) supaya melihat kepada pesaing stesen televisyen lain seperti CNN dan Al-Jazeera yang menyediakan bahan menarik untuk penonton kerana dalam bidang penyiaran kita mahu tarik minat penonton dan kalau orang enggan menonton program itu, maka program itu tidak berjaya," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di RTM dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Angkasapuri, hari ini.

Gobind berkata, RTM perlu memberi perhatian kepada kandungan yang lebih segar, telus, pantas dan bertepatan dengan kehendak semasa penonton.Beliau tidak menolak kemungkinan menjadikan setiap saluran di RTM lebih spesifik mengikut kategori penonton."Saya dengar pandangan yang diberikan dan ada yang menarik. Setakat ini kami lihat kemungkinan ada saluran khusus mungkin untuk berita atau sukan saja dan perkara lain.

"Ini cadangan yang baik tetapi saya mahukan lebih input kerana apa yang dikumpul dalam enam bulan akan saya bawa ke kabinet agar keseluruhan wajah RTM boleh diubah, lebih terkini bagi menyahut cabaran bukan sahaja di rantau Asia tetapi di seluruh dunia."Media ada di mana-mana, sama ada suka atau tidak, sistem perlu berubah supaya kita dapat menarik perhatian penonton di seluruh dunia dan boleh bersaing dengan media sedia ada," katanya.