KUALA LUMPUR 2 Ogos - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapat pengecualian daripada melaksanakan proses tender terbuka bagi perolehan program melibatkan syarikat produksi tempatan. Menurut Gobind pengecualian itu bagi membolehkan syarikat produksi tempatan yang telah menerima surat niat untuk kontrak RTM meneruskan projek masing-masing.

"Isu ini timbul apabila ada arahan pelaksanaan tender terbuka bagi semua projek kerajaan, bagaimanapun, saya dapat tahu daripada artis-artis khususnya syarikat produksi tempatan yang menyatakan bahawa konsep atau sistem itu tidak boleh terpakai kepada syarikat produksi.

"Ini kerana tidak boleh ada tender untuk syarikat produksi kerana proses ini melibatkan pembikinan filem dan sebagainya, jadi, saya telahpun menulis surat kepada Kementerian Kewangan supaya syarikat produksi dikecualikan daripada tender (terbuka)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Jelas Gobind, permohonan beliau telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan difahamkan kementerian itu (Kementerian Kewangan) akan mengeluarkan segera surat tersebut kepada RTM supaya projek-projek tersebut diteruskan. “Saya rasa surat tersebut telah dihantar ke RTM dan masalah itu telah diselesaikan,” katanya.-Bernama