KUALA LUMPUR, 2 NOVEMBER 2018 - MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya campurtangan dalam menyelesaikan pertikaiannya dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menyebabkan siaran MYTV digantung di beberapa negeri.

KUALA LUMPUR, 2 NOVEMBER 2018 - Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Michael Chan berkata gesaan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Televisyen Terestrial Digital (DTT) menjelang penutupan siaran analog (ASO) pada suku pertama tahun hadapan.

“Kami turut memohon TM agar menarik balik penggantungan perkhidmatan serta merta agar rakyat dapat terus menikmati perkhidmatan itu sehingga pengumuman tarikh rasmi siaran analog (ASO) ditentukan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurutnya, MYTV kekal komited untuk mencapai sasaran kerajaan bagi menggantikan transmisi televisyen analog kepada digital di bawah Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional.

MYTV setakat ini telah melabur lebih RM400 juta dalam projek nasional itu dan akan terus mengeluarkan pelaburan ke arah mencapai ASO. Terdapat 34 menara transmisi DTT meliputi 92.7 peratus daripada populasi di seluruh negara.

“Sejajar dengan peralihan digital di rantau ASEAN, kami sedang mempercepatkan penghijrahan analog ke digital dengan pelaksanaan perkhidmatan terus ke rumah (DTH) bagi meningkatkan liputan di seluruh negara sebelum peralihan digital nanti,” beliau berkata. - Bernama