PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diberi kuasa untuk memadamkan paparan maklumat palsu dan berbaur perkauman di media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata ia adalah antara langkah yang dibincang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggubal undang-undang menangani penyalahgunaan media sosial yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini. 

Katanya, pihaknya sedang mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan dan rang undang-undang itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen selewat-lewatnya Julai ini.

"Kerajaan dalam proses dan merangka pindaan kepada undang-undang supaya ianya lebih efektif dalam menangani masalah isu perkauman, keagamaan, selain menyentuh institusi raja di media. Inilah perkara yang sedang diteliti oleh kementerian.

"Jadi, kita dalam proses melihat bagaimana SKMM diberikan kuasa itu. Saya berharap penggubalan undang-undang itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen (yang bermula Isnin depan) atau pada sesi akan datang (Julai)," katanya kepada pemberita selepas menutup Sambutan Hari Keselamatan Internet Edisi Malaysia di sini hari ini.

Kepada soalan sama ada Dasar Keselamatan Siber Negara ada kaitan dengan penggubalan undang-undang ancaman perpaduan dan keselamatan negara, Gobind berkata: " Polisi itu berbeza kerana ia merangkumi apakah langkah dan hala tuju negara dalam menangani cabaran baharu dalam era ekonomi digital."

"Undang-undang itu merangkumi isu-isu penyalahgunaan media sosial seperti peruntukan sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain berkaitan tetapi pelaksanaan polisi adalah lebih luas," katanya lagi, sambil menambah dasar itu dijangka siap Julai nanti.

Terdahulu, Gobind dalam ucapan penutupnya berkata Konsep Kewarganegaraan Digital akan diperkenalkan bagi mengetengahkan perilaku baik dan kebertanggungjawaban dalam penggunaan teknologi digital.

Beliau berkata ia amat perlu memandangkan penggunaan internet yang ekstrem boleh mengakibatkan pengguna internet menjadi ketagihan sehingga ia mengancam kesihatan fizikal dan mental, selain terdedah kepada ancaman siber seperti penipuan dalam talian, gangguan siber, kecurian identiti, buli siber dan spam yang boleh mengakibatkan kerugian dan kemudaratan.

Kajian Programme for International Student Assessment oleh Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyifatkan penggunaan internet yang ekstrem (melebihi enam jam sehari) memberi kepuasan dan kesejahteraan hidup yang rendah berbanding penggunaan internet yang sederhana selama satu hingga dua jam sehari.

"Menyedari akan wujudnya permasalahan ini, kerajaan sedang berbincang dan mahu mewujudkan satu sistem berasaskan kepada Konsep Kewarganegaraan Digital, dengan sokongan CyberSecurity Malaysia," katanya. 

Konsep Kewarganegaraan Digital itu mempunyai sembilan elemen utama iaitu Akses Digital; Perniagaan Digital; Komunikasi Digital; Literasi Digital;Etiket Digital; Undang-undang Digital; Hak dan Tanggungjawab Digital; Kesihatan Digital; dan Keselamatan Digital.

Berhubung Hari Keselamatan Internet 2019 Edisi Malaysia, Gobind berkata pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menangani isu ancaman dan jenayah siber, serta menggalakkan penggunaan internet secara positif, bermoral, beretika dan berintegriti.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia Jeneral Tan Sri (B) Mohd Azumi Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nurini Kassim dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.

-- BERNAMA