KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedang berusaha untuk mewujudkan saluran sukan percuma untuk rakyat dalam siaran berdefinisi tinggi (HD).

Menterinya Gobind Singh Deo berkata usaha itu merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu menjana dan membangun industri sukan di samping mewujudkan perpaduan dan meningkatkan semangat patriotik.

Selain itu, katanya siaran sukan berprestij juga akan disiarkan di mana RTM telah mendapatkan hak siaran seperti pertandingan Asian Basketball League (ABL), Cub Prix, Kejohanan All England, Malaysia Axiata Open dan BWF World Championship serta Copa America.

"Acara sukan serantau, SEA Games Manila 2019 turut diberi perhatian selain perlumbaan Moto GP dan Martial Arts One Championship," katanya pada majlis Sambutan Hari RTM Ke-73 dan Pelancaran Saluran Percubaan Berita stesen itu, di Angkasapuri, di sini hari ini.

Gobind berkata untuk tahun 2020, beliau berharap pertandingan liga bola sepak Eropah (UEFA) juga dapat disiarkan. 

“Saya faham RTM sedang berusaha untuk mendapatkan hak siaran tersebut,” katanya.

Lebih tujuh dekad bersiaran sejak 1 April 1946, RTM sebagai stesen unggul kerajaan bergerak seiring dengan kehendak semasa serta melaksanakan transformasi radikal untuk menjadi pilihan utama penonton.

-- BERNAMA