Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelaksanaan siaran radio secara visual disokong dengan penggunaan teknologi 5G dapat membantu RTM menyampaikan berita bersifat kewilayahan dari negeri-negeri dengan lebih pantas dan berkesan.

Kata beliau, inisiatif ini adalah pencapaian baharu RTM dalam memajukan industri telekomunikasi di negara ini.“Ini menunjukkan jika kita menggunakan teknologi dengan baik, kita boleh pastikan jika ada kejadian yang berlaku di tempat-tempat tertentu, ia boleh dilaporkan secara terus melalui stesen-stesen radio.

“Kita juga gunakan teknologi dan peralatan yang ada, ke tempat-tempat tertentu dan laporkan dari situ. Walaupun ia disiarkan melalui radio, dengan teknologi baharu kita boleh lihat secara langsung apa yang berlaku,” katanya ketika melancarkan Pemerkasaan Radio-Radio RTM Menerusi Siaran Radio di Televisyen di Wisma Berita, Angkasapuri di sini hari ini.Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii; Pengarah Program Radio, Norbai’yah Baharuddin dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik, Nor Yahati Awang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Seksyen Hal Ehwal Semasa Jabatan Penyiaran Malaysia, Saifuzzaman Yusop berkata, pembaharuan yang dilaksanakan tidak melibatkan pertambahan kos atau kakitangan dengan cara memanfaatkan teknologi penyiaran digital.

“Dalam penyiaran digital, ia membolehkan teks, ikon, grafik, audio dan video disiarkan serentak secara hibrid di radio, televisyen dan multimedia. Tapi kita tak boleh guna teknologi dulu-dulu, terpaksa bawa kamera, set pencahayaan, kru dan satu pasukan penerbitan.

“Jadi ia tidak melibatkan kos, pertambahan kakitangan dan kita gunakan jalur lebar,” katanya. - UTUSAN ONLINE