LANGKAWI, 6 Ogos (Bernama) -- Keputusan peralihan siaran analog televisyen secara berperingkat ke siaran TV digital myFreeview turut membuka peluang mempelbagaikan kandungan kepada pengguna, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo. Beliau berkata 15 saluran dalam TV digital myFreeview amat penting untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna. "Kalau nak teruskan dengan lihat dua ‘channel’ (saluran) saja kita boleh teruskan, tetapi kepada saya kita perlu lihat dunia baharu digital. 

"Lima belas ‘channel’ tv di myFreeview ini penting kerana ianya saluran maklumat yang membolehkan kita tahu perkara di seluruh dunia termasuk sukan dan drama...ada banyak kandungan di dalam saluran tv digital kepada pengguna," katanya secara santai kepada enam penerima ‘Set Top Box’ (STB) atau dekoder DVB-T2 di Pusat Internet Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, di sini.
Beliau turut meluangkan masa mendengar sendiri permasalahan, aduan serta cadangan yang disampaikan oleh penerima dekoder yang layak semasa sesi pertemuan tersebut.

Terdahulu Gobind diberi taklimat oleh pengurus pusat internet tersebut Nor Asmak Amsari mengenai pengagihan ‘Set Top Box’ (STB) atau dekoder DVB-T2 kepada penerima yang layak di kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat.
Mengenai projek rintis peralihan ke siaran TV digital di Langkawi sejak 21 Julai lalu, Gobind berkata ujian tersebut perlu dilakukan bagi mendapat maklum balas serta aduan mengenai sebarang masalah daripada pengguna.
"Setiap masalah kita akan kategorikan mengikut kawasan dan cara bagaimana nak selesaikan.

“Selepas ini peralihan ke siaran TV digital akan di‘apply’ (diguna) ke seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara berperingkat. Cabaran pasti ada tetapi saya yakin kita boleh atasinya," kata beliau. ,Pengguna di Langkawi mula beralih ke siaran TV digital sejak 21 Julai lepas, selepas pemancaran TV analog dari Gunung Raya di sini ditutup dan digantikan dengan pemancaran TV digital myFreeview yang boleh memberi liputan siaran TV digital, dengan kualiti siaran yang lebih baik.

-- BERNAMA